Friday, April 8, 2011

Asal Usul Kejadian Isi Dunia.

Adapun tatkala langit akan terkembang & bumi akan terhampar, maka pada masa itulah moyang kita Nabi Adam ‘Alaihissalam ditempa dari tanah. Isi dunia ialah anak cucu Nabi Adam ‘A.S. Yang menjadi raja ialah anak Nabi Adam ‘A.S. yang bongsu.
Adapun Nabi Adam ‘A.S.& isterinya telah beranak seramai 39 orang. Anak Nabi Adam ‘A.S. yang pertama berkahwin dengan anak yang kedua. Anak yang ketiga berkahwin dengan yang keempat, anak yang kelima berkahwin dengan anak yang keenam & begitulah seterusnya. Anak Nabi Adam ‘A.S.yang bongsu tidak memperolehi jodoh. Anak Nabi Adam ‘A.S.yang bongsu ini dilarikan oleh malaikat kepada awan-gemawan. Maka, berasa hairanlah Nabi Adam ‘A.S. & isterinya, Hawa serta semua anak-anaknya itu; maka, bertiuplah angin dari dalam syurga. Gendang Siraja Nobat juga dipalu; maka ditiup serunai Siradang Kacang; rebab dan kecapi juga dimainkan. Maka, terkembanglah payung ubur-ubur, maka, menarilah anak-anak bidadari di dalam syurga, mereka terlalu suka melihat anak Nabi Adam ‘A.S. yang bongsu itu di awan-gemawan itu. Maka, terhemburlah bau-bauan yang sangat wangi dari dalam syurga; turunlah malaikat dari langit yang ketujuh; maka, bergoyanglah Kayu Sijratulmuntaha; terbukalah pintu Baitulma’mur. Maka, malaikat-malaikat itu pergi menemui anak Nabi Adam ‘A.S. yang bongsu itu.
Maka, Nabi Adam ‘A.S. & isterinya melihat ke langit. Anak-anak mereka juga melihat ke langit. Paras anak Nabi Adam ‘A.S. yang bongsu amat hebat, bertandukkan emas sejati-jati. Mereka pun berasa amat takut. Maka, kedengaran suara dari puncak Bukit Qaf. Nabi Adam ‘A.S. serta isterinya, Hawa, serta anak-beranak mereka melihat ke arah bukit itu. Mereka terlihat panji-panji terkembang di atas bukit itu seperti buih di laut putihnya. Nabi Adam ‘A.S. & isterinya, Hawa, serta anak-beranak mereka berasa hairan. Maka, Nabi Adam ‘A.S. pun meminta doa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, “Ya Ilahi, Ya Rabbul’alamin, pertemukanlah juga hamba serta anak cucu hamba.” Maka, Allah S.W.T pun menurunkan anak Nabi Adam ‘A.S. yang bongsu itu ke dunia.
Tatkala Allah S.W.T menurunkan anak Nabi Adam ‘A.S. yang bongsu itu ke dunia, maka, laut itu pun berombak. Maka, ikan yang bernama Nun itu pun menghamburkan dirinya, maka, bergeraklah seluruh bumi; antah-berantah rasanya alam. Sebab itulah, maka, bernama tanah Rumi. Maka, berkatalah segala anak-anak Nabi Adam ‘A.S. yang laki-laki, “Maka, sopan kita melihat rupanya.” Maka, anak Nabi Adam ‘A.S. itu pun diturunkan olah malaikat ke bumi yang suci; antara Pasirik & Pasirung, antara Masyriq & Maghrib, antara timur & selatan, antara Bukit Siguntang Mahameru adalah yang bernama tanah Rumi ini.
Maka, dikeluarkan Allah S.W.T anak Indo Jati selapan orang bernama Cati Reno Sudah. Amat baik rupa parasnya & lagi manis pada mulutnya. Itulah jadi angkat-angkatan sembah kepada anak Nabi Adam ‘A.S. semuanya. Maka, berkampunglah semua anak Nabi Adam ‘A.S. itu. Katanya, “Takut kami hai saudara kami akan tandukmu itu.” Maka, anak Nabi Adam ‘A.S. yang bongsu itu pun mengerat tanduknya. Sekerat menjadi Mahkota Sanggohani, sekerat menjadi Lembing Lembuara. Sekerat menjadi gemala sati (sakti), sekerat menjadi tudung saji. Sekerat menjadi pinang pasir, sekerat menjadi sirih udang tempawari. Tampuknya kuning dan gagangnya merah, daunnya digelar ubat, menjadi Tembaga Siramin Kota.
Maka, turunlah segala malaikat dari langit yang ketujuh akan anak Nabi Adam ‘A.S. yang mempunyai tanduk itu. Raja Iskandar namanya, Dzulqarnain gelarannya, yang mempunyai dua kerajaan dunia. Ertinya kerajaan di Masyriq & kerajaan di Maghrib. Maka berkata anak-anak Nabi Adam ‘A.S. semuanya, “Jika demikian kata malaikat, kami mengikut semuanya.”
Maka, berkatalah Raja Iskandar itu kepada segala sembarangan itu, “Siapatah akan jadi kakitangan hamba? Siapatah akan mengiringkan hamba? Siapatah akan membawa payung hamba? Siapatah pula yang akan memerintahkan kerajaan hamba? Maka, menyahutlah segala saudaranya, “Sekalian kami yang banyak ini akan memeliharakan & memerintahkan kerajaan dalam alam ini kerana raja itu sudah lengkap dengan kelengkapan serta gadang (besar) yang kegadangannya.”
Maka, berapa lamanya, laut itu pun menyentak. Maka, ditumbuhkan olah Allah S.W.T segala bukit & jadi pasak bumi, antara laut disabung ombak. Maka, Raja Iskandar itu pun hendak beristeri. Maka, turunlah malaikat dari langit. Maka, kedengaranlah suara dari atas ‘Arasy Allah S.W.T, demikianlah bunyinya, “Jikalau raja itu hendak beristeri, jemputkan anak bidadari dari dalam syurga. Ialah yang bernama Puti (Puteri) Sri Alam.” Maka, malaikat itu pun turun ke dunia, lalu ke dalam syurga. Maka, di dalam syurga itu didapatinya anak bidadari itu sedang bertenun kain. Sang Sita Kala namanya. Maka, kata malaikat Jibrail, “Hai anak-anak bidadari, marilah kita turun ke dunia, kerana, titah Allah S.W.T, engkau akan jadi isteri raja di dalam dunia.”
Maka, menangislah anak-anak bidadari semuanya di dalam syurga itu. Maka, menyahut anak bidadari yang bertenun itu, “Betapa hamba suka pergi ke dunia, kerana, hamba sedang bertenun.” Maka, kata malaikat Jibrail, “Jikalau mahu engkau mengikut titah Allah S.W.T, bawalah olehmu akan tenun engkau ini ke dunia.” Maka, segeralah anak bidadari menggulung tenun itu.
Maka, dipalu oranglah di dalam syurga berbagai bunyi-bunyian, gegak gempita azamat bunyinya. Maka, segala anak-anak bidadari itu pun menari. Maka, anak bidadari itu digulungnya tenun itu serta pisau kecil itu, Si Gulandak dipersunting di telinga kanan. Maka, berkatalah malaikat kepada anak bidadari, “Bawa olehmu segala pakaianmu ke dunia supaya tahu orang dunia meniru meneladani.” Maka, bertemulah tanah Rumi. Maka, diturunkanlah Allah S.W.T empat malaikat & menjadi saksi & wali, mengahwinkan Raja Iskandar itu.
Maka, dengan takdir Allah S.W.T, lamalah pula sudah kahwin, maka, dikeluarkan Allah S.W.T unggas dari dalam syurga menentukan silang selanak dalam dunia. Daripada unggas itu, berolehlah pengajaran segala hamba Allah S.W.T dalam negeri Rumi itu. Sungguhpun unggas, tetapi pada batinnya unggas itu malaikat.
Maka, beranaklah Raja Iskandar Dzulqarnain tiga orang laki-laki ketiga-tiganya. Nan seorang bernama Maharaja Alif, nan seorang bernama Sultan Sri Maharaja Dipang, nan seorang bernama Sri Maharaja DiRaja. Maka, apabila sudah baligh ketiga-tiganya, maka, memandanglah Daulat Yang DiPertuan ke Masyriq, tentang itu, semuanya rantau kita. Dan, Daulat Yang DiPertuan memandang hala ke Maghrib; tentang itu, semuanya rantau kita. Dan, memandang pula ia ke selatan; tentang itu, semuanya rantau kita. Dan, memandang Daulat Yang DiPertuan ke utara; tentang tu, semuanya rantau kita.
Maka, bermuafakatlah ketiga-tiga anakanda Iskandar Dzulqarnain, “Ke mana kita akan berjalan?” Maka, memandanglah ia ke Maghrib, tibalah antara laut disabung ombak. Maka, hendaklah Daulat Yang DiPertuan akan berlayar, maka, muafakatlah ketiganya di Pulau Langkawi antara Bukit Siguntang Mahameru ialah dalam Laut Selatan. Maka, seorang hendak Mahkota Sanggohani, maka, berebutlah ketiganya, maka, jatuhlah mahkota itu ke dalam laut. Maka, diperbuat cembul kaca oleh Cati Bilang Pandai, maka,  dilihatnya emas sejati-jati, maka, daripada emas itu diperbuatnyalah Mahkota Sanggohani. Apabila mahkota itu siap, tukangnya dibunuh; tidak boleh ditiru lagi.
Maka, berasa hairanlah raja nan bertiga. Mereka pun belayar. Sri Maharaja Dipang nan jatuh ke benua China, kudanya berpelana emas. Dialah nan kerajaan di benua China. Maka, melompat kudanya lalu ke udara. Anakanda Iskandar nan seorang lagi kembali pulang ke tanah Rumi. Dialah nan mempunyai cukai tepawi Perancis & Inggeris & Belanda, itulah yang memerintah negeri Rumi, juga 60,000 negeri yang besar-besar, lalu ke tanah Makkah; raja Rumi nan memberi makan orang isi negeri Makkah & Madinah.
Sultan Sri Maharaja DiRaja, anakanda bongsu Raja Iskandar Dzulqarnain, belayar ke Pulau Jawi 16 orang serta pengiring anjing yang mualim & kucing Siam & harimau Campa. Maka, diperoleh perahu kayu jati. Maka, dari sana terus belayar & tiba di Pulau Perca, Pulau Emas. Maka, pecahlah perahu itu di seberang, maka, muafakatlah angkat-angkat itu kerana takut pada raja. Maka, berfikirlah Cati Bilang Pandan akan memperbaiki perahu itu. Maka, bertitahlah Daulat Yang DiPertuan, “Jika kamu dapat baiki perahu itu kembali seperti asalnya, maka, aku ambil kamu jadi menantuku,”
Maka, sukalah segala yang berakal dalam perahu itu. Maka, diperbaiki perahu itu seperti dahulunya. Maka, berasa hairanlah raja. Maka, Allah S.W.T Maha Kasih akan raja, maka, dijadikan Allah S.W.T anak 4 orang manusia, 5 dengan anak raja. Maka, belayarlah raja ke Pulau Jawi, maka, berbalik dari Pulau Jawi kembali ke Gunung Merapi sendirinya. Maka, apabila anak itu sudah baligh, maka, dinikahkan anak itu 5 orang perempuan dengan 5 orang lelaki nan perbaiki perahu tadi.
Maka, lamalah antaranya, maka laut itu pun menyentak kering. Maka, ditumbuhkan oleh Allah S.W.T rumpai 3 jalurnya di atas gunung itu. Sejurai ke Tanah Datar, sejurai ke Lubuk Agam, sejurai ke ranah Lima Puluh. Maka, disuruh anak nan 5 orang tadi. Seorang ke ranah Tanah Datar adalah anak raja; seorang ke Kubang ialah anak anjing tadi; seorang ke Lubuk Agam ialah anak harimau Campa namanya; & seorang ke Padang Kota Lawas ialah anak kucing Siam tadi. Maka, berilmu raja itu kepada segala alam, maka mendapat di Galundi Nan Baselo namanya ialah nan turun ke ranah Tanah Datar. Tatakala itu belum ada lagi Datuk Ketumanggungan & Datuk Perpatih Nan Sebatang.
Maka, lamalah antaranya, maka, kembanglah segala anak raja tadi. Masa dikeluarkan Allah S.W.T rusa seekor dari dalam laut kepada negeri itu. Maka, muafakatlah segala isi negeri akan menangkap rusa itu. Maka, bicaralah segala isi negeri itu kepada Datuk Suri DiRaja kerana habislah pendapat isi negeri itu. Maka berkatalah Datu Suri DiRaja, “Terlebih mudah menangkap rusa itu. Ambil olehmu rotan sehelai & perbuatlah jerat. Naik perahu & jerat tanduknya.” Maka, dibuatlah seperti kata Datuk Suri DiRaja kepada laras, “Helalah bersama-sama.” Maka, disembelihlah rusa itu.
Maka, muafakatlah isi negeri semuanya akan mencari nama yang baik bagi negeri itu. Maka, dinamakan Pariangan, Perungan dahulunya. Maka, pindahlah pula hulubalang raja ke Batu Gadang. Hulubalang raja itu menyandang pedang panjang. Maka, dinamai Cati Bilang Pandai serta Datuk Suri DiRaja ialah Paringan Padang Panjang namanya.
Maka, muafakatlah semua isi negeri Pariangan Padang Panjang akan menamai penghulu kepada 2 negeri itu. Datuk Maharaja Besar manjadi penghulu di Padang Panjang & Datuk Bendahara Kaya menjadi penghulu di Pariangan. Datuk Maharaja Besar & Datuk Bendahara Kaya ialah nan gadang masa dahulu, sebelum Datuk Ketumanggungan & Datuk Perpatih Nan Sebatang.
Maka, muafakatlah semua isi negeri akan berbuat balairung panjang akan tempat Daulat Yang DiPertuan duduk. Maka, menitah raja kepada Cati Bilang Pandai akan berbuat balairung panjang itu. Tiangnya teras jelatang, perannya akan ludang, bendulnya teras bayam & tataran sagar jintan, nan bata buah pulut-pulut, nan pagar tiang jangek tuma, nan bergendang seliguri, & nan bercanang sati jajin yang perbuatan si raja jin nan diam di rimba lawang. Maka dikeluarkanlah caklempong sati (sakti) ialah perbuatan Si Gelembai Tunggal. Maka, sukalah hati raja & penghulu. Maka, balai itu dihias pula dengan lapik belalang.

Dipetik daripada Abdullah Jumain Abu Samah, 1995.
Asal-usul Adat Perpatih & Adat Temenggung: Suatu Analisis Tambo-tambo Minangkabau Berasaskan Strukturlisme. Bangi: UKM.

No comments:

Post a Comment